Blog Post

Tatabahasa Bahasa Melayu - Kata Kerja

  • By Malia
  • 29 Jul, 2015

Kesalahan Dalam Penggunaan Kata Kerja

Kata kerja merupakan golongan kata yang menjadi inti dalam frasa kerja, sama ada yang berlaku atau dilakukan. Contohnya, berjalan, makan, memakan, dimakan dan sebagainya. Kata kerja terbahagi kepada, kata kerja transitif ( Perbuatan Melampau ) dan kata kerja tak transitif (Perbuatan tidak Melampau). 

Kata Kerja Transitif

Kata kerja transitif ialah segala perbuatan yang dilakukan oleh pembuatnya kepada benda lain. Benda yang kena oleh perbuatan itu dipanggil penyambut ( objek ). Ayat yang menggunakan kata kerja transitif mesti mempunyai penyambut ( objek ). Kata kerja ini biasanya mempunyai imbuhan ‘me-‘ sama ada sebagai awalan atau sebahagian daripada imbuhan contohnya mengambil, mendermakan, membacakan, menduduki, mempersilakan.
Contoh Kesalahan.
Dia suka baca buku. (salah)
Dia suka membaca buku. (betul)
Ahmad tendang bola itu. (salah)
Ahmad menendang bola itu. (betul)
Analisis :
Kata kerja transitif yang berawalan me-,-ter-, atau ber- tidak boleh ditiadakan awalannya.

Kata Kerja Transitif Aktif

Kata kerja transitif aktif ialah kata kerja yang mesti disertai oleh objek, iaitu kata nama dan ayatnya berbentuk aktif. Kata kerja transitif aktif menggunakan imbuhan men, men ...i, men ...kan, memper, memper...i, dan memper...kan.

Contoh Kesalahan.

Dia menghadiahkan saya sebentuk cincin. (salah)
Dia menghadiahi saya sebentuk cincin. (betul)
Hakim menjatuhi hukuman mati kepada penjahat itu. (salah)
Hakim menjatuhkan hukuman mati kepada penjahat itu. (betul)
Hakim menjatuhi penjahat itu hukuman mati. (betul)

Analisis :

Akhiran -kan dan -i masing-masing digunakan untuk membentuk kata kerja transitif tetapi fungsi kedua-duanya berbeza sama sekali. Akhiran -i menyatakan makna bahawa objek yang dikenai perbuatan dengan kata kerja yang berakhiran -i itu tidak bergerak. Akhiran -kan pula menyatakan bahawa objek yang dikenai perbuatan dengan kata kerja yang berakhiran -kan itu bergerak dari tempatnya ke arah lain.
By Malia 11 Aug, 2015
Kesalahan dari segi kata-kata bilangan
By Malia 11 Aug, 2015
bila penjodoh bilangan tidak perlu digunakan
By Malia 06 Aug, 2015
Contoh Teks Ucapan Pengarah Sempena Karnival PIBG Parlimen Bukit Katil
More Posts
Share by: